[01/02/2018] Festival Kebudayaan Dan Kesenian Korat 2018, Thailand | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » [01/02/2018] Festival Kebudayaan dan Kesenian Korat 2018, Thailand

[01/02/2018] Festival Kebudayaan dan Kesenian Korat 2018, Thailand

Oleh Adidi Tamin

 

KORAT, 1 Feb – Seramai 12 orang pelajar Universiti Putra Malaysia daripada Kelab Senitari Adimastuli telah terpilih untuk mewakili Malaysia ke Festival Kesenian dan Kebudayaan Antarabangsa Korat 2018 di Nakhon Ratchasima, Thailand pada 31 Januari 2018 sehingga 6 Februari 2018.

Tarian Zapin Rajuk Rindu, Laksamana Raja Di Laut, Nirmala, Inang Empat Dara dan Joget Jambu Merah telah berjaya dipersembahkan oleh Kelab Senitari Adimastuli ke pentas antarabangsa yang telah diadakan di perkarangan Suranaree Monument Square bersama beberapa persembahan tradisional negara-negara lain seperti India, Sri Lanka, China, Brunei, Ghana, Rusia, Thailand, Filipina, Greece, Bangladesh dan Indonesia.  Persembahan pembukaan itu juga turut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan Thailand.

Kelab Senitari Adimastuli dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia juga telah melaksanakan program persilangan budaya antarabangsa bersama dengan para pelajar dari Sekolah Tinggi Wittaya Nakhon Ratchasima Thailand di mana mereka telah mempersembahkan beberapa buah tarian dan mengajar tarian tradisional Malaysia yang dipersembahkan itu kepada pelajar sekolah.  Mereka juga berkesempatan untuk belajar tarian daripada sekolah tersebut yang telah dipersembahkan oleh para pelajarnya.

Naib Menteri Datuk Bandar wilayah Nakhon Ratchasima, Mr. Bamrung Charoenpot berkata beliau amat berharap agar persilangan budaya ini memberikan manfaat kepada pelajar sekolah di wilayah Nakhon Ratchasima dan berterima kasih kepada pelajar Universiti Putra Malaysia kerana telah sama-sama menjayakan program persilangan budaya ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr. Mohd Roslan Sulaiman juga berkesempatan menghadiri program ini, beliau berpendapat program seperti ini memberi impak yang sangat besar kepada semua pelajar bagi setiap negara khusus dalam memelihara perhubungan baik antara semua negara yang diterapkan melalui nilai-nilai murni budaya berbilang bangsa.  Selain daripada itu, beliau juga turut menghadiri majlis menandatangai Memorendum Persefahaman (MOU) untuk program Korat International Arts And Culture Festival 2018, Thailand bersama-sama dengan semua negara yang terlibat.  Beliau berhasrat agar pelajar UPM dapat menganjurkan program berimpak tinggi seperti ini pada masa akan datang.

Selain melebarkan sayap keseniaan dan kebudayaan Malaysia ke sekolah-sekolah di Thailand, pelajar UPM juga telah berjaya bekerjasama bersama Universiti Nakhon Ratchasima Rajabhat dalam menjayakan program persilangan budaya bersama pelajar Ijazah universiti tersebut di mana mereka telah menghiburkan pelajar-pelajar di sini bersama semua delegasi negara yang terlibat.  

Program ini telah membuka ruang kepada pelajar Universiti Putra Malaysia untuk memperkenalkan dan mempromosikan kesenian dan kebudayaan Malaysia yang unik di persada antarabangsa. Duta kecil Malaysia ini juga telah berjaya membawa identiti Malaysia untuk dikongsi bersama negara-negara lain selain daripada negara serumpun Indonesia.  Kesenian dan kebudayaan tradisional yang dipertahankan oleh pelajar Universiti Putra Malaysia ini perlu menjadi contoh kepada generasi muda Malaysia khusus kepada warga UPM dalam mengekalkan warisan yang menjadi kebanggaan bangsa Malaysia.

Tarikh Input: 14/02/2018 | Kemaskini: 17/02/2019 | msahrizan

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXDdJAL~